Lesen Pengguna Korpus

 

Sila pastikan anda membaca dan memahami semua terma dalam Lesen Pengguna ini. Penggunaan data korpus tertakluk kepada penerimaan terma dan syarat yang digariskan dalam lesen ini. Setelah anda selesai membaca terma-terma berikut, anda akan dikehendaki mengesahkan penerimaan syarat dan terma berkenaan.

 


Perjanjian Pelesenan ini dibuat antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada satu pihak, dan anda sebagai pembaca dokumen ini, di pihak yang satu lagi.

 

DBP telah mendapatkan kebenaran daripada penerbit-penerbit (selepas ini disebut Kumpulan Penerbit) untuk memasukkan sebahagian teks penerbitan mereka ke dalam Korpus DBP, seperti yang dinyatakan dalam Lampiran I perjanjian ini.

 

Manakala Pihak Yang Diberi Lesen merupakan pengguna akhir yang terdiri daripada penyelidik akademik atau penyelidik daripada mana-mana institusi kerajaan, badan berkanun, NGO dan pihak swasta.

 

Dengan mengambil kira syarat yang dikenakan oleh Kumpulan Penerbit kepada DBP untuk memanfaatkan data mereka, DBP dengan ini memberikan lesen bukan eksklusif kepada Pihak Yang Diberi Lesen, dengan syarat-syarat yang berikut:

 

1.         Definisi

 

(a)  ‘Korpus DBP’ merupakan koleksi teks tulisan yang disimpan secara digital di dalam pangkalan data, diberikan penandaan tertentu dan dianalisis menggunakan sistem yang digunakan untuk pembangunan dan penyelidikan bahasa.

 

(b)  ‘Pihak Yang Diberi Lesen’ adalah pengguna berdaftar yang menggunakan Korpus DBP dengan izin dan tertakluk di bawah terma dan syarat dalam Perjanjian ini.

 

(c)  ‘Hasil Prosesan Korpus DBP’ merupakan hasil janaan sistem untuk dijadikan bahan dalam pembangunan dan penyelidikan bahasa.

 

(d)  ‘Hasil Pengguna’ ialah hasil kajian Pihak Yang Diberi Lesen terhadap ‘Hasil Prosesan Korpus DBP’ .

 

(e)  ‘Tempat Kerja’ ialah sistem perkakasan yang biasa digunakan oleh Pihak Yang Diberi Lesen atau kumpulan kerjanya untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikannya. Ini termasuklah perkakasan komputer di rumah dan pejabat, tidak terhad kepada mana-mana jenis mesin atau bangunan.

 

(f)    ‘Kumpulan Penerbit’ bermaksud semua penerbit selain Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah memberikan kebenaran penggunaan data kepada DBP untuk tujuan pembinaan Korpus DBP.

 

 

2.          Terma-terma Lesen Yang Diberikan kepada Pihak Yang Diberi Lesen

 

(a)  DBP memberikan lesen bukan eksklusif dan tidak boleh pindah milik kepada Pihak Yang Diberi Lesen untuk menggunakan Korpus DBP HANYA untuk tujuan penyelidikan linguistik dan/atau pembangunan produk berasaskan bahasa SAHAJA.

 

(b)  Penggunaan Korpus DBP terhad kepada Pihak Yang Diberi Lesen sahaja secara individu atau jika Pihak Yang Diberi Lesen mempunyai kumpulan kerja penyelidikan, maka dalam kalangan kumpulan kerja tersebut sahaja.

 

(c)  Ahli-ahli kumpulan kerja tersebut tidak boleh membuat salinan, menerbitkan atau melakukan apa-apa serahan hak capaian kepada pihak ketiga terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian Korpus DBP. Adalah menjadi tanggungjawab Pihak Yang Diberi Lesen untuk memastikan ahli-ahli dalam kumpulan kerjanya memahami dan mematuhi larangan ini, dan menyelia sebarang aktiviti yang berkaitan dengan Korpus DBP dan Hasil Prosesan Korpus DBP. Pihak Yang Diberi Lesen mahupun ahli-ahli kumpulannya tidak boleh menyerahkan, memindahkan, memajakkan, menjual, menyewakan, mengenakan caj dan sebagainya Korpus DBP dan Hasil Prosesan Korpus DBP.

 

(d)  Hanya Hasil Prosesan Korpus DBP sahaja yang boleh dipindahkan, disimpan atau disalin ke tempat kerja Pihak Yang Diberi Lesen atau kumpulan kerjanya.

 

(e)  Hasil Prosesan Korpus DBP yang perlu boleh dibuat sandaran data (back-up), atau untuk tujuan data boleh digunakan oleh ahli-ahli kumpulan kerja tetapi Pihak Yang Diberi Lesen perlu memastikan notis hak cipta DBP dicetak dan dimasukkan ke dalam semua salinan atau mana-mana bahagian atau kedua-duanya. Mana-mana salinan harus mempunyai label Korpus DBP sebagai Hasil Prosesan Korpus DBP.

 

(f)    Tiada had dalam penggunaan kepada Pihak Yang Diberi Lesen ke atas Hasil Prosesan Korpus DBP kecuali tidak boleh menerbitkan atau menggunakan mana-mana bahagian Hasil Prosesan Korpus DBP untuk sebarang tujuan komersil atau apa-apa tujuan yang menyalahi undang-undang hak cipta.

 

(g)  DBP boleh pada bila-bila masa meminta untuk memeriksa apa-apa bahan Korpus DBP yang diakses, Hasil Prosesan Korpus DBP yang disimpan dan Hasil Pengguna pada bila-bila masa yang dikehendaki.

 

(h)  Kumpulan Penerbit tidak memberikan kebenaran kepada Pihak Yang Diberi Lesen apa-apa hak untuk mengeluarkan semula, melibatkan atau menggunakan sebahagian atau keseluruhan Korpus DBP untuk tujuan yang bersangkutan dengan khidmat dan produk komersil dalam apa-apa jua cara melainkan dengan peruntukan rundingan yang saksama di bawah undang-undang hak cipta.

 

 

3.         Bayaran

Tiada apa-apa bayaran dikenakan terhadap penggunaan Korpus DBP dan Hasil Prosesan Korpus DBP untuk tujuan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 2(a) dan tertakluk kepada Perkara 2(f) dan Perkara 2(h).

 

 

4.         Tempoh Perjanjian

Tertakluk kepada Perkara 9 selepas ini, Perjanjian ini berkuat kuasa sebaik sahaja pengguna berdaftar sebagai Pihak Yang Diberi Lesen.

 

 

5.         Keperluan Penjagaan Profesional

 

Pihak Yang Diberi Lesen dan semua ahli kumpulan kerjanya mesti memberikan jagaan secara profesional seperti langkah-langkah yang disenaraikan di bawah ini, untuk mengelak daripada berlakunya pelanggaran Perjanjian. Langkah yang dinyatakan ialah:

 

(a)          menyelenggarakan data terkini dalam rekod bertulis semua salinan Hasil Prosesan Korpus DBP yang diedarkan dan/atau dibina di bawah Perjanjian ini berserta keterangan lokasinya, bila-bila masa yang dikehendaki tanpa bertangguh kepada DBP jika diminta berbuat demikian;

(b)          sentiasa memeriksa penggunaan dan status Hasil Prosesan Korpus serta memastikan kesemua salinan data selamat daripada dicerobohi pihak yang tidak berkaitan dengan Pihak Yang Diberi Lesen atau kumpulan kerjanya;

(c)          menggunakan kaedah perlindungan fail dan lain-lain tatacara keselamatan data untuk mencegah apa-apa capaian yang tidak sah;

(d)          mengambil semua langkah perlu untuk melindungi hak harta intelek DBP dan Kumpulan Penerbit tanpa prejudis; dan

(e)          mengekalkan penglibatan dan minat untuk menggunakan data Korpus DBP berdasarkan Perjanjian ini.

 

Jika penyelidik sudah tidak aktif (sebagai contoh, jika penyelidik bertukar tempat kerja/majikan atau mengambil cuti belajar atau cuti sabatikal), Pihak Yang Diberi Lesen mesti memastikan Hasil Prosesan Korpus DBP dan kesemua salinannya dihapuskan daripada fail komputer, atau melindunginya sehingga digunakan semula hanya oleh Pihak Yang Diberi Lesen. Pihak Yang Diberi Lesen bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Hasil Prosesan Korpus DBP sebagaimana diikat dengan terma dan syarat di dalam Perjanjian ini.

 

 

6.          Had Liabiliti

 

(a)          Pihak DBP tidak memberikan jaminan dan tidak memberi pengesahan bahawa Hasil Prosesan Korpus DBP akan sesuai untuk semua tujuan penyelidikan, atau untuk digunakan dalam apa-apa jua keadaan, meskipun tujuan dan kegunaan tersebut dimaklumkan kepada DBP.

 

(b)          Pihak DBP tidak memberikan jaminan bahawa Hasil Prosesan Korpus DBP merupakan bahan yang boleh dijadikan pedoman bahasa, petikan atau contoh penggunaan bahasa yang betul aturan tatabahasanya dalam apa-apa konteks dan tujuan.

 

(c)          DBP dan Kumpulan Penerbit tidak bertanggungjawab terhadap kekangan teknikal dalam Hasil Prosesan Korpus DBP.

 

(d)          DBP dan Kumpulan Penerbit tidak menjamin bahawa operasi apa-apa enjin prosesan yang digunakan dalam Korpus DBP bebas daripada gangguan atau kesalahan.

 

(e)          DBP dan Kumpulan Penerbit tidak mempunyai sebarang liabiliti terhadap Pihak Yang Diberi Lesen atas kehilangan keuntungan, nama baik atau apa-apa kerugian yang berkaitan dengan apa-apa bentuk malah untuk kehilangan yang boleh dijangkakan, dalam apa-apa jua keadaan.

 

(f)          DBP dan Kumpulan Penerbit tidak mempunyai apa-apa tanggungan berhubung dengan apa-apa kerosakan terhadap bahan atau harta nyata Pihak Yang Diberi Lesen akibat daripada pengabaian DBP dan Kumpulan Penerbit termasuk pekerja-pekerja, agen atau subkontraktornya.

 

 

7.          Salinan Hasil Pengguna

 

Semua Hasil Pengguna yang dihasilkan dengan penggunaan Korpus DBP atau mana-mana bahagian Korpus DBP dan Hasil Prosesan Korpus DBP di bawah Perjanjian ini hendaklah diserahkan satu salinan kepada DBP setelah selesai kajian untuk tujuan dokumentasi dan simpanan DBP.

 

 

8.        Hak Cipta Terpelihara

Semua Korpus DBP dan Hasil Prosesan Korpus DBP, termasuklah hak cipta bahan, akan kekal kepada DBP dan Kumpulan Penerbit.

 

 

9.         Penamatan Lesen

 

(a)  DBP akan menamatkan lesen jika Pihak Yang Diberi Lesen gagal  mematuhi mana-mana terma dan syarat Perjanjian ini.

 

(b)  Penamatan lesen memestikan Pihak Yang Diberi Lesen memadamkan semua salinan Korpus DBP dan Hasil Prosesan Korpus DBP yang ada dalam simpanannya atau mana-mana kumpulan kerjanya. Pengesahan bertulis bahawa Pihak Yang Diberi Lesen telah melaksanakan dan memenuhi terma ini perlu diberikan oleh Pihak Yang Diberi Lesen  atau pegawai yang diberi kuasa (sekiranya kumpulan kerja seperti penyelia, pensyarah, dsb) kepada DBP.

 

 

10.       Kuasa

Perjanjian ini ditadbir di bawah Undang-Undang Hak Cipta.

 

 

 

Lampiran I

 

Korpus DBP yang merupakan bahan yang dilesenkan dalam Perjanjian ini dan terdiri daripada:

 

(a)          Sampel teks yang diterbitkan dan/atau tidak diterbitkan yang hak ciptanya dipunyai oleh pembekal data.

 

(b)          Sampel teks yang diterbitkan dan/atau tidak diterbitkan yang dikumpulkan dan diproses oleh DBP untuk tujuan Korpus DBP yang tidak dikhususkan hak ciptanya.

 

(c)          Katalog metadata yang menyatakan maklumat sumber bahan di dalam Korpus DBP.